Rabu, 19 Disember 2012

MENGARANG PANTUN

BAHAN INI JUGA DARI SUMBER YANG SAMA DENGAN JENAKA SIMPULAN BAHASA.


Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati dan digunakan untuk mengambarkan pelbagai keadaan dan kegunaan seperti melahirkan perasaan sedih, gembira, rindu, berkasih dan memberi nasihat. Pantun juga boleh diguna secara berbalas-balasan di majlis seperti peminangan, perkahwinan dan di dalam rancangan radio. Pantun juga boleh dinyanyikan seperti mana lagu Rasa Sayang, Sri Mersing dan lain-lain. Pantun juga dibaca sebagai mentera dalam sesetengah jampi serapah yang diamalkan oleh pawang dan dukun dalam perubatan traditional.

Pengunaan pantun dalam lagu.
Rasa Sayang
Rasa sayang hey, rasa sayang-sayang hey
Hey lihat nona jauh, rasa sayang sayang hey
Buah cempedak di luar pagar
Ambilkan galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
...........
...........
Sri Mersing
Sri Mersing lagulah Melayu
dikaranglah oleh pujangga dahulu
hatiku runsing bertambahlah pilu 
mengenangkan nasib yatim piatu.
...........
...........
Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan. Pantun yang pendek, dua kerat pada kebiasaannya menjadi suatu kelaziman sehinggakan ia menjadi satu bidalan. Ini menyebabkan orang ramai tidak menyedari bahawa asal-usul bidalan itu sebagai pantun. Contoh yang mashyur adalah :-
Banyak udang banyak garam,
banyak orang banyak ragam.
Sudah garahu cendana pula,
sudah tahu bertanya pula.
Terdapat juga pantun empat kerat yang pendek juga dianggap suatu bidalan disebabkan kelaziman penggunaan oleh orang ramai. Sebagai contoh sekiranya disebut :-
Siakap senohong, .....
seseorang penutur bahasa Melayu akan segera melengkapi pantun atau bidalan diatas dengan berkata :-
... gelama ikan duri,
bercakap bohong,
lama-lama mencuri.
Contoh lain adalah :-
Berakit-rakit kehulu,
berenang-renang ketepian,
bersakit-sakit dahulu,
bersenang-senang kemudian.
Jenis pantun yang lain adalah pantun berkait. Pantun berkait terdiri daripada kumpulan pantun empat baris yang pembayang dan maksud kedua bagi rangkap pertama akan digunakan sebagai pembayang dan maksud bagi pantun kedua. Lihat contoh di bawah ini.
Apa diharap padi sebendang
Entahkan jadi entahkan tidak
Apa diharap kasihnya orang
Entahkan jadi entahkan tidak Entahkan jadi entahkan tidak
Entah dimakan pipit melayang
Entahkan jadi entahkan tidak
Entah sudahkan milik orang

JENAKA SIMPULAN BAHASA

Mari kita cuba fahamkan simpulan bahasa ini....bahan dari http://puisisajakmelayu.blogspot.com/search/label/JENAKA%20SIMPULAN%20BAHASA


Menjala senangin dapat di beting,
si kepala angin cepat melenting.

Menyuling air pada senja sepi,
si juling air terbawa ke mimpi.

Kepal pulut di dalam piring,
gatal mulut kena tempeleng.

Kuini berulat di dalam piring,
berani lalat temberang lebih.

Tabuh betingkah di malam gelita,
Subuh gajah dapatkah pahala?

Todak seluang betutu pari,
si otak udang guru cabut lari.

Sudah bertiti tiada bergalah,
buah hati tiada yang salah.

Di tepi kolam menjahit sepatu,
si kaki ayam berkulit kematu.

Berbunyi jelatik di rimba sana,
pelangi tak cantik dek buta warna.

Petola madu isi di kotak,
gila-gila memandu mati katak.

Semilir angin mersik berbisik,
puteri lilin asyik bersolek.

Pedada jati semalu kerakap,
ada hati malu nak cakap.

Menjerat seladang di tepi hutan,
berat tulang tapi kuat makan.

Cerpelai singa harimau landak,
si bangkai bernyawa pun tak hendak.

Melata mempelas di depan kota,
kerja culas makan gaji buta.

MOHD KASIM MAHMUD PPJ Kota Tinggi.

Selasa, 18 Disember 2012

SAJAK MELAYU OLEH USMAN AWANG


Usman Awang 

Melayu 

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

( dipetik secara bebas oleh Imnogman ) 



Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)