Rabu, 19 Disember 2012

MENGARANG PANTUN

BAHAN INI JUGA DARI SUMBER YANG SAMA DENGAN JENAKA SIMPULAN BAHASA.


Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati dan digunakan untuk mengambarkan pelbagai keadaan dan kegunaan seperti melahirkan perasaan sedih, gembira, rindu, berkasih dan memberi nasihat. Pantun juga boleh diguna secara berbalas-balasan di majlis seperti peminangan, perkahwinan dan di dalam rancangan radio. Pantun juga boleh dinyanyikan seperti mana lagu Rasa Sayang, Sri Mersing dan lain-lain. Pantun juga dibaca sebagai mentera dalam sesetengah jampi serapah yang diamalkan oleh pawang dan dukun dalam perubatan traditional.

Pengunaan pantun dalam lagu.
Rasa Sayang
Rasa sayang hey, rasa sayang-sayang hey
Hey lihat nona jauh, rasa sayang sayang hey
Buah cempedak di luar pagar
Ambilkan galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
...........
...........
Sri Mersing
Sri Mersing lagulah Melayu
dikaranglah oleh pujangga dahulu
hatiku runsing bertambahlah pilu 
mengenangkan nasib yatim piatu.
...........
...........
Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan. Pantun yang pendek, dua kerat pada kebiasaannya menjadi suatu kelaziman sehinggakan ia menjadi satu bidalan. Ini menyebabkan orang ramai tidak menyedari bahawa asal-usul bidalan itu sebagai pantun. Contoh yang mashyur adalah :-
Banyak udang banyak garam,
banyak orang banyak ragam.
Sudah garahu cendana pula,
sudah tahu bertanya pula.
Terdapat juga pantun empat kerat yang pendek juga dianggap suatu bidalan disebabkan kelaziman penggunaan oleh orang ramai. Sebagai contoh sekiranya disebut :-
Siakap senohong, .....
seseorang penutur bahasa Melayu akan segera melengkapi pantun atau bidalan diatas dengan berkata :-
... gelama ikan duri,
bercakap bohong,
lama-lama mencuri.
Contoh lain adalah :-
Berakit-rakit kehulu,
berenang-renang ketepian,
bersakit-sakit dahulu,
bersenang-senang kemudian.
Jenis pantun yang lain adalah pantun berkait. Pantun berkait terdiri daripada kumpulan pantun empat baris yang pembayang dan maksud kedua bagi rangkap pertama akan digunakan sebagai pembayang dan maksud bagi pantun kedua. Lihat contoh di bawah ini.
Apa diharap padi sebendang
Entahkan jadi entahkan tidak
Apa diharap kasihnya orang
Entahkan jadi entahkan tidak Entahkan jadi entahkan tidak
Entah dimakan pipit melayang
Entahkan jadi entahkan tidak
Entah sudahkan milik orang

JENAKA SIMPULAN BAHASA

Mari kita cuba fahamkan simpulan bahasa ini....bahan dari http://puisisajakmelayu.blogspot.com/search/label/JENAKA%20SIMPULAN%20BAHASA


Menjala senangin dapat di beting,
si kepala angin cepat melenting.

Menyuling air pada senja sepi,
si juling air terbawa ke mimpi.

Kepal pulut di dalam piring,
gatal mulut kena tempeleng.

Kuini berulat di dalam piring,
berani lalat temberang lebih.

Tabuh betingkah di malam gelita,
Subuh gajah dapatkah pahala?

Todak seluang betutu pari,
si otak udang guru cabut lari.

Sudah bertiti tiada bergalah,
buah hati tiada yang salah.

Di tepi kolam menjahit sepatu,
si kaki ayam berkulit kematu.

Berbunyi jelatik di rimba sana,
pelangi tak cantik dek buta warna.

Petola madu isi di kotak,
gila-gila memandu mati katak.

Semilir angin mersik berbisik,
puteri lilin asyik bersolek.

Pedada jati semalu kerakap,
ada hati malu nak cakap.

Menjerat seladang di tepi hutan,
berat tulang tapi kuat makan.

Cerpelai singa harimau landak,
si bangkai bernyawa pun tak hendak.

Melata mempelas di depan kota,
kerja culas makan gaji buta.

MOHD KASIM MAHMUD PPJ Kota Tinggi.

Selasa, 18 Disember 2012

SAJAK MELAYU OLEH USMAN AWANG


Usman Awang 

Melayu 

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

( dipetik secara bebas oleh Imnogman ) 



Copyrigth © 2000 Imnogman(TM) (ZZZ Reversed Tech, Inc.)

SAJAK- KE MAKAM BONDA OLEH USMAN AWANG

Usman Awang 

Ke Makam Bonda 

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabadian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan

( dipetik secara bebas oleh Imnogman ) 

Khamis, 6 Disember 2012

SENYUM SIKIT.......

hari ini kita baca teka teki orang muda sekarang...bahasa basahan ye....

Petikan Teka-teki

Kuih ape yang bungkusnya di dalam, isinya di luar?
Kuih salah bikin.

Binatang ape power Karate?
Kuda belang.cube kira brape black belt dia ade.

Siape yang menemukan dompet kulit?
Yang menemukan dompet kulit tersebut tolong pulangkan kepada saye.

Pintu ape yang walaupun dengan 10 org pun tak leh nak tolak?
Pintu yang ade tulis 'TARIK'

Saya ade 3 kepala,4 tangan dan 5 kaki...siapakah saya?
Pembohong...

Apa dia 'Jauh di mata, dekat di hati...'?
Usus

Binatang ape yang seluruh anggota tubuhnya kat kepala?
Kutu rambut

Nenek sape jalannya meloncat-loncat?
Neneknye si katak

Knape lelaki jarang kene penyakit anjing gila?
Sbb lelaki ni kan 'buaya'


Ape persamaan Michael Jordan ngan Michael Jackson?
Dua-dua tak kenal korang...hehe

Tukang ape yang kalau dipanggil, die menjenguk ke atas?
Tukang gali kubur

Nak mencari sikit punye susah, bile dah dapat buang, ape bendanya?
Tahi hidung

Ape persamaan kain jemuran ngan telefon?
Dua-dua kalau dah 'kringgg' bole diangkat...

Knape pokok kelapa kat depan rumah harus ditebang?
Mestilah kene tebang, sape nak cabut pokok kelapa ...gile ape...

Gajah terbang dengan ape?
Dengan susah payah......

Rabu, 5 Disember 2012

PANTUN TEKA TEKI


BAHAN DARIOADA http://zonfiniti.blogspot.com/2009/12/pantun-teka-teki-dan-jawapan.html

Terbang tinggi si burung helang
Hinggap di atas pohon meranti
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Jawapan: Mancis

Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki;
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini.

Jawapan: Baju Hujan

Buah budi bidara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Jawapan: Buah Hati

Budak-budak ramai di pekan
Hari raya membakar petas
Kalau adik pandai kiasan
Apakah buah gugur ke atas?

Jawapan: Buah Melaka

Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari;
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

Jawapan: Bintang

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Jawapan: Kasut Bertali

Cik Limah bersama anak lelaki
Duduk makan keropok lekor
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Jawapan: Ular Dan Katak

Pergi umrah setiap tahun,
Moga sentiasa murah rezeki
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Jawapan: Lemang

Bila kecil boleh ditiup,
Sudah besar janganlah lagi,
Kalau tercucuk ia meletup,
Kalau terlepas terbangnya tinggi. 

Jawapan: Belon

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.

Jawapan : Payung

Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu?


Sumber: http://zonfiniti.blogspot.com/2009/12/pantun-teka-teki-dan-jawapan.html#ixzz2EAyCEEA8
Sila baca lagi di http://zonfiniti.blogspot.com

PERUMPAMAAN


BAHAN INI DARIPADA http://tatabahasabm.tripod.com/tata/perumpama.htm


Perumpamaan ialah susunan katakata yang indah, ringkas, dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat.
2.         Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama.
3.         Senarai perumpamaan dan maksudnya adalah seperti yang berikut.
Perumpamaan
Maksud
Bagai aur dengan tebingtolong-menolong antara satu dengan yang lain
Bagai bunyi cempedak jatuhbunyi jatuh yang kuat
Bagai bulan dipagari bintangkecantikan gadis yang tiada bandingannya
Bagai diiris dengan sembiluperasaan yang sangat pedih
Bagai duri dalam dagingsesuatu hal yang tidak menyenangkan
Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masinghanya mementingkan diri sendiri
Bagai itik pulang petangberjalan lambat sekali
Bagai isi dengan kukupersahabatan yang sangat erat
Bagai kacang melupakan kulitorang yang tidak tahu mengenang budi
Bagai kumbang putus taliamat cepat; terlepas daripada sengsara
Bagai melepaskan batuk di tanggamembuat sesuatu kerja sambil lewa saja
Bagai menatang minyak yang penuhmendidik anak dengan penuh belaian kasih sayang
Bagai mencencang airmembuat pekerjaan yang sia-sia
Bagai mural tercabut ekorseseorang yang becok mulutnya
Bagai si kudung mendapat cincinorang yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh
Bagai pinang dibelah dua/ Seperti cincin dengan permatapasangan yang sama padan dan sama cantik
Bagai tikus membaiki labumerosakkan lagi barang yang dibaikinya
Seperti abu di atas tunggul/ Seperti telur di hujung tandukkedudukan tidak tetap atau tidak terjamin
Seperd anak ayam kehilangan ibuberpecah dan hilang tempat bergantung
Seperti anjing dengan kucingadik-beradik yang suka bergaduh
Seperti anjing dengan bayang-bayangorang yang tamak, tidak cukup dengan apa-apa yang ada
Seperti api dalam sekamdendam; perbuatan jahat yang tersembunyi
Seperti ayam berak kapurmuka pucat dan tidak bermaya
Seperti bertih digorengbunyi bising atau percakapan yang tidak berhenti-henti
Seperti cacing kepanasantidak diam atau tenang; selalu gelisah
Seperti embun di hujung rumputkasih sayang yang tidak berkekalan
Seperti gergaji dua mata/ Seperti talam dua mukaseseorang yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pihak
Seperti harimau menyembunyikan kukunyamenyembunyikan kelebihan yang ada pada dirinya
Seperti hujan jatuh ke pasir/ Seperti mencurahkan air ke daun keladimemberi nasihat kepada orang tetapi tidak berkesan
Seperti katak di bawah tempurungorang yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia luar
Seperti kera kena belacantidak suka duduk diam
Seperti kera mendapat bungaseseorang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain
Seperti kerbau dicucuk hidungseseorang yang lurus; menurut segala perintah orang lain tanpa usul periksa
Seperti langit dengan bumiperbezaan yang amat ketara
Seperti mengajar itik berenangmengajar seseorang yang arif atau pandai daripada kita
Seperti pahat dengan penukulorang yang hanya bekerja apabila diperintah
Seperti pungguk rindu akan bulanmengharapkan sesuatu yang tidak mungkin diperoleh
Seperti rusa masuk ke kampungberasa hairan dan tercengang-cenggang apabila berada di tempat yang baru
Seperti tikus jatuh di berasmemperoleh kekayaan yang tidak disangka-sangka
Seperti ular kena palujalan atau barisan yang bengkang-bengkok

SIMPULAN BAHASA


BAHAN INI DARIPADA http://bahasamelayutuisyen.wordpress.com/category/simpulan-bahasa/

Simpulan Bahasa merupakan ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna tersirat.
Apabila sesuatu perkataan di dalam ungkapan tersebut dipisahkan, ia menjadi perkataan tersendiri dan hanya membawa makna asalnya. Sebaliknya apabila perkataan tersebut dirangkaikan dengan perkataan lain, maka maknayan akan berubah daripada makna perkataan asalnya tadi.
A
Abang angkat – Lelaki yang dianggap seperti abang sendiri. 
Abu Dajal – Orang yang suka mengganggu orang lain .
Abu Jahal – Orang yang jahat.
Ada Angin – Seseorang yang tidak boleh diduga sikapnya. Ada kalanya baik dan ada kalanya marah.
Ada bakat -mempunyai kebolehan.
Ada Buah – Mempunyai sebab atau tujuan tertentu.
Ada Hati – Mempunyai keinginan
Ada Jalan -  Mempunyai Cara
Ada Perangai – Ada tingkah laku yang kurang baik.
Ada Riak – Ada tanda-tanda akan jadi sesuatu.
Ada Sengat atau ada Taring – Mempunyai pengaruh atau ada kuasa
Adu Domba – Suka melaga-lagakan orang lain supaya berpecah belah.
Adu Kening – Diperhendapkan atau diketemukan.
Air Bujang – Hidangan minuman sahaja tanpa kuih
Air Emas – Sesuatu yang diingati selama-lamanya
Air mati -Air kosong yang sudah dimasak
Air Muka- Wajah atau nama baik
Ajak-ajak Ayam – Ajakan yang tidak bersungguh-sungguh
Akal Kancil – Pandai membuat tipu helah dan muslihat
Akal Panjang – Seseorang yang berfikiran tinggi dan mempunyai banyak idea
Akhir Zaman – Hari hampir Kiamat
Alas Perut – Makan hanya sekadar untuk menahan daripada lapar
Ambil Angin – Bersiar-siar
Ambil Berat – Mengambil Tahu
Anak Emas – Orang yang dikasihi oleh ibu bapanya atau majikannya.
Anak Gahara – Anak raja daripada pemaisuri.
B
Bau-bau bacang - Pertalian keluarga yang jauh.
Beralih akal – Berubah fikiran atau pendapat.
Beralih angin – Bertukar tempat, ke suatu tempat untuk berehat.
Bergadai nyawa – Sanggup memberhayakan diri sendiri demi mencapai sesuatu.
Berhati batu – Bersifat degil, tidak berasa kasihan .
Berhati waja – Tidak mudah kecewa.
Bermuka dua – Tidak jujur @ belot.
Bertikam lidah – Bertengkar @ berdebat.
Buah Mulut – Perkara yang menjadi sebut-sebutan.
Bulat Hati – Ikhlas , tetap hati dan bersungguh-sungguh.
Buruk Siku – Meminta kembali apa-apa yang telah diberikan.
C
Campur Tangan – Turut serta dalam urusan orang lain.
Cepat Tangan – Suka mencuri.
D
Dalam Tangan - Pasti perolehi.
Darah daging – Anak kandung.
Daya Fikir – Kekuatan Fikiran.
G
Gaji buta – Gaji yang diterima dengan tidak bekerja bersungguh-sungguh.
Gila Bahasa – Kurang waras fikirannya.

PERIBAHASA

BAHAN INI DARIPADA http://www.bmspm.net/snperibahasa.htm


Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4
 
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatMaksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah dagingMaksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjingMaksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diriMaksud : Sombong

5. bermuka duaMaksud : Tidak jujur.

6 baik hatiMaksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakangMaksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arangMaksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batuMaksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnyaMaksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggiMaksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidungMaksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjingMaksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di airMaksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hatiMaksud : Lekas pandai.

16. rendah hatiMaksud : Tidak sombong

17. murah hatiMaksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panasMaksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosongMaksud : Hampa.
 

Selasa, 27 November 2012

LATIHAN TATABAHASA (IMBUHAN)


IMBUHAN


Pilih jawapan yang paling sesuai untuk diisikan ke tempat kosong dalam ayat di bawah ini.



1        Penduduk Mukim Sungai Emas                     seorang pemuda yang berpelajaran tinggi.
A   berpenghulu        C    berpenghulukan
B    penghulukan       D   dipenghulukan

2    Walaupun telah dihukum berkali-kali, dia masih juga                       perbuatan itu.
      A   melaku                C    berlaku
      B    melaku

3    Zarul                          kerana terpijak kulit pisang.
      A   menggelincir       C    gelinciran
      B    tergelincir            D menggelincirkan

4 Zainudin telah dipilih sebagai penulis               dalam pertandingan menulis cerpen.
A   baik                    C    terbaik
B    dibaikkan            D   kebaikan

5    Tiap-tiap petang dia               bas di hadapan kedai itu.
      A   ditunggu              C    menunggukan
      B    menunggu           D   tunggu

6    Dia                    payung apabila hari hujan.
      A   pakai                   C    terpakai
      B    berpakai              D   memakai

7    Masalah                     dadah bukan sahaja berlaku kepada belia malah terjadi juga dalam kalangan pelajar sekolah.
      A   salah guna
      B    penyalahgunaan
      C    penggunaan
      D   disalahgunakan

8    Apa boleh buat, dia memang                                        sebab itulah dia menerima hukuman.
      A   bersalah              C    tersalah
      B    disalahkan          D   menyalahkan

9        Kita hendaklah berjumpa doktor untuk
                      rawatan apabila kita sakit.
A   dapat                   C    terdapat
C    mendapat            D   mendapatkan

Soalan 10 be

10    Zaki sakit perut dan muntah-muntah kerana                                          makanan.

A diracun         C keracunan
B  beracun       D meracuni

11  Hafiz Hashim akan                pertandingan akhir pada malam ini.
      A   memasuki           C    kemasukan
      B    dimasukkan              D   memasukkan

12  Polis telah berjaya                  cubaan merompak kedai emas itu.
      A   gagali                  C    digagalkan
      B    menggagali          D   menggagalkan

13  Rumah Encik Wai                  pencuri semasa dia dan keluarganya pulang ke kampung.
      A   dimasuki             C    memasuki
      B    dimasukkan              D   termasuk

14  Setiap pelajar                   mengemukakan hasil karya mereka.
      A   dikehendaki       
      B    berkehendakkan
      C    dikehendakkan
      D   mengendaki

15  Kerajaan negeri Melaka akan memulakan projek        laut di Selat Melaka.
      A   ditambak             C    menambak
      B    tertambak            D   menambakkan


Jawapan

1 C          2 B          3 B          4 C       5 B
6 D         7 B          8 A         9 D      10 C
11 A       12 D       13 A       14 A    15 C

AYAT SAMA MAKSUD

  
Pilih ayat yang sama maksud dengan ayat yang bergaris.


1    Masalah mangsa-mangsa banjir itu dapat diatasi oleh Pegawai Daerah dengan adanya bantuan segera daripada kerajaan.
      A   Pegawai Daerah dapat menyelesaikan masalah mangsa-mangsa bantuan segera daripada banjir.
      B   Pegawai Daerah dapat menyelesaikan masalah mangsa-mangsa banjir dengan adanya bantuan segera daripada kerajaan.
      C   Pegawai Daerah dapat menyelesaikan bantuan segera daripada kerajaan terhadap mangsa-mangsa banjir.
      D   Pegawai Daerah dapat menyelesaikan dengan segera masalah mangsa-mangsa banjir itu.

2    “Jangan abaikan pelajaran anda,” kata penceramah itu kepada para hadirin.
      A   Penceramah itu memarahi anda kerana mengabaikan pelajaran para hadirin.
      B   Penceramah itu menegah para hadirin mengabaikan pelajaran anda.
      C   Penceramah itu menasihati hadirin supaya tidak mengabaikan pelajaran.
      D   Anda diingatkan oleh penceramah agar tidak mengabaikan pelajaran hadirin.

3    Orang ramai terus membanjiri ekspo itu walaupun hujan turun dengan lebat.
      A   Ekspo itu diteruskan walaupun hujan lebat turun dan dibanjiri oleh orang ramai.
      B   Hujan yang turun dengan lebat telah menyebabkan ekspo itu dibanjiri orang ramai.
      C   Hujan lebat tidak menghalang orang ramai daripada mengunjungi ekspo itu.
      D   Hujan lebat telah menyebabkan ekspo yang diminati ramai itu mengalami banjir.

4    Pakar motivasi itu menegaskan bahawa kemalasan tidak dapat diatasi tanpa kesungguhan.
      A   Kata pakar motivasi itu, “Ketegasan dapat membantu kita mengatasi rasa malas.”
      B   Kata pakar motivasi itu, “Kemalasan dapat diatasi walaupun tanpa kesungguhan.”
      C   Kata pakar motivasi itu, “Kemalasan diatasi dengan bersungguh-sungguh dan tegas.”
      D   Kata pakar motivasi itu, “Tanpa kesungguhan  kita tidak dapat mengatasi rasa malas.”

5    Lamin dilarang menghadiri perjumpaan kelab itu kerana keahliannya telah digantung.
      A   Lamin enggan menghadiri perjumpaan kelab itu  setelah keahliannya digantung.
      B   Lamin ditegah menghadiri perjumpaan kelab itu  kerana keahliannya masih tergantung.
      C   Ekoran penggantungan keahliannya, Lamin tidak dibenarkan menghadiri perjumpaan kelab itu.
      D   Keengganan Lamin menghadiri perjumpaan kelab itu telah menyebabkan keahliannya digantung.

6    Emma menangisi kematian Pak Seman yang telah lama menderitai sakit usus itu.
      A   Kematian Pak Seman telah ditangisi oleh Emma yang sudah lama mengalami sakit usus itu.
      B   Kematian Pak Seman yang telah lama menghidap sakit usus itu ditangisi oleh Emma.
      C   Kematian Pak Seman menghidap sakit usus itu telah lama ditangisi oleh Emma.
      D   Penyakit usus yang menyebabkan kematian Pak Seman telah ditangisi oleh Emma.

7    Kadar pengangguran di negara ini semakin menurun setelah kerajaan bertindak melarang kemasukan pendatang asing.
      A   Larangan kemasukan pendatang asing oleh kerajaan telah berjaya menurunkan kadar pengangguran di negara ini.
      B   Kerajaan telah menghalang kemasukan pendatang asing untuk menurunkan kadar pengangguran di negara ini.
      C   Kerajaan telah menurunkan kadar pengangguran di negara ini untuk menghalang kemasukan pendatang asing.
      D   Untuk menurunkan kadar pengangguran, kerajaan telah melarang pendatang asing memasuki negara ini.

8    “Kamu hendaklah mencuci kedua-dua belah tangan kamu sebelum makan nasi,” kata Puan Lo kepada anaknya.
      A   Puan Lo dan anaknya berpesan agar mencuci kedua-dua belah tangan sebelum makan nasi.
      B   Puan Lo dan anaknya berpesan mencuci kedua-dua belah tangan anaknya sebelum makan nasi.
      C   Puan Lo berpesan kepada anaknya supaya mencuci kedua-dua belah tangan sebelum makan nasi.
      D   Puan Lo berpesan kepada anaknya supaya makan nasi dan  mencuci kedua-dua belah tangannya.

9    “Sally tidak datang ke sekolah pada hari ini ,” kata Kam Choon kepada Cikgu Nasliza.
      A   Kam Choon menerangkan bahawa Sally dan Cikgu Nasliza tidak datang ke sekolah pada hari itu.
      B   Kam Choon dan Sally menerangkan kepada Cikgu Nasliza bahawa mereka tidak datang ke sekolah pada hari itu.
      C   Kam Choon memberitahu Cikgu Nasliza  bahawa Sally tidak datang ke sekolah pada hari itu.
      D   Kam Choon  memberitahu Cikgu Nasliza bahawa Sally  tidak akan datang ke sekolah pada hari itu.

10  “Mari makan bersama-sama Sharon,” kata Puan Rosy kepada Haizan.
      A   Puan Rosy mengajak Haizan dan Sharon makan bersama-samanya.
      B   Puan Rosy mengajak Haizan makan bersama-sama Sharon.
      C   Sharon diajak oleh Puan Rosy makan bersama-samanya.
      D   Saharon meminta Puan Rosy mengajak Haizan makan bersama-samanya.

11  Gerakan mencari kedua-dua murid yang lemas itu telah dilakukan sejak semalam lagi.
      A   Sejak semalam telah dilakukan lagi gerakan mencari kedua-dua murid yang lemas itu.
      B   Kedua-dua murid yang lemas itu sejak semalam lagi telah dilkukan gerakan mencari.
      C   Sejak semalam lagi gerakan mencari kedua-dua murid yang lemas itu telah dilakukan.
      D   Gerakan mencari kedua-dua murid itu sejak lemas telah dilakukan lagi.

12  Semua penduduk menyambut baik program menanam sayur-sayuran secara hidroponik.
      A   Semua penduduk yang menanam sayur-sayuran menyambut baik program hidroponik.
      B   Sambutan menanam sayur-sayuran secara hidroponik disambut baik oleh semua penduduk.
      C   Program menanam sayur-sayuran secara hidroponik disambut baik oleh semua penduduk.
      D   Program menanam secara hidroponik semua penduduk menyambut baik sayur-sayuran.

13  Majlis perbandaran telah mengarahkan supaya pekedai-pekedai menjaga kebersihan kedai mereka untuk mengelakkan penyakit daripada merebak.
      A   Pekedai-pekedai telah diarahkan majlis perbandaran supaya menjaga kebersihan kedai mereka untuk mengelakkan penyakit daripada merebak.
      B   Majlis perbandaran yang menjaga kebersihan telah mengarahkan pekedai-pekedai supaya mengelakkan mereka daripada penyakit untuk merebak.
      C   Majlis perbandaran telah mengarahkan pekedai-pekedai supaya menjaga kedai mereka untuk mengelakkan penyakit daripada kebersihan kedai mereka merebak.
      D   Kedai majlis perbandaran telah mengarahkan pekedai-pekedai supaya menjaga kebersihan mereka untuk mengelakkan penyakit merebak.

14  Suhana mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan rakan-rakan sebelum meninggalkan tanah air.
      A   Sebelum meninggalkan tanah air, cikgu berkata, “Terima kasih, Suhana dan kawan sekalian.”
      B   Sebelum meninggalkan tanah air, kawan-kawan Suhana berkata, “Terima kasih, cikgu dan kawan sekalian.”
      C   Sebelum meninggalkan tanah air, guru Suhana berkata, “Terima kasih, Suhana dan kawan sekalian.”
      D   Sebelum meninggalkan tanah air Suhana berkata, “Terima kasih, cikgu dan kawan sekalian.”

15  Sejak belakangan ini banyak kes kecurian yang berlaku di kampung-kampung.
      A   Belakangan ini banyak berlaku kes di kampung-kampung sejak kecurian.
      B   Banyak kes kecurian yang berlaku di kampung-kampung sejak belakangan ini.
      C   Sejak  di kampung-kampung kecurian kes yang berlaku belakangan ini.
      D   Sejak kecurian yang berlaku di kampung-kampung belakangan ini banyak kes.


      Jawapan

     

        1 B          2 C          3 C          4 D         5 C
        6 B          7 A         8 C          9 C        10 B    
      11 C        12 B        13 A       14 D       15 B